
19 Sami Cedera Parah Disengat Tebuan
Thailand – Berpuluh-puluh sami di wilayah Chiang Mai, di utara Thailand dikejarkan ke hospital selepas mereka diserang tebuan ketika sedang membersihkan kuil Chedi Luang, semalam.
Menurut akhbar The Bangkok Post, lebih 70 orang sami disengat tebuan tersebut dengan 19 daripada mereka kini berada dalam keadaan kritikal.
Kesemua mereka di bawa ke tiga hospital yang berbeza termasuk di hospital Maharaj Nakorn.
Enam daripada sami berkenaan dilaporkan tiba di hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami tekanan darah rendah.
Bisa sengatan tebuan kebiasaannya menyebabkan kulit kemerahan dan membengkak, namun jika disengat beberapa kali, ia boleh membawa maut.
Tebuan berkenaan sebelum ini membuat sarang di dalam kuil tersebut dan tidak pernah menimbulkan sebarang kekacauan sebelum ini.
Namun kali ini, tidak dapat diketahui kenapa ia menyerang manusia.
Kejadian serangan tebuan ini pernah berlaku ke atas 19 anggota paratentera ketika mereka dalam operasi memusnahkan pemberontak Maoist di Chhattisgarh, India.
Ketika diserang, mereka sedang membersihkan kawasan hutan daripada jerangkap samar.
Kejadian pada 7 Mei itu menyebabkan empat anggota tentera tersebut kritikal dengan muka dan tangan merebak bengkak sebelum dimasukkan ke hospital.
Pihak berkuasa percaya, ribut yang melanda kawasan hutan itu telah menumbangkan pokok-pokok di mana tebuan itu membuat sarang, sehingga menyebabkan ia mengganas dan menyerang anggota tentera tersebut yang kebetulan berada di tempat kejadian.


