
Euro 2012: Perancis Hampiri Suku Akhir
PERANCIS akhirnya menamatkan kemarau kemenangan mereka pada kejohanan besar apabila berjaya menewaskan tuan rumah bersama Euro 2012, Ukraine 2-0 pada aksi kedua Kumpulan D, awal pagi tadi.
Jaringan Jeremy Menez pada minit ke-53 dan Yohan Cabaye minit ke-56 memberikan kemenangan pertama dalam lapan perlawanan di kejohanan besar buat Perancis pada aksi yang terpaksa ditangguhkan sejam akibat hujan lebat dan ribut petir di Donetsk.
“Kami akan menikmati kejayaan ini. Seperti diketahui, inilah kemenangan pertama Perancis di kejohanan utama selepas enam tahun. Harap kemenangan berikutnya buat kami bukanlah dalam tempoh enam tahun lagi.
“Jika itu berlaku, saya tidak akan berada di kerusi jurulatih ini lagi untuk memperkatakannya kerana sudah pasti saya akan dipecat terlebih dahulu,” kata jurulatih Perancis, Laurent Blanc.
Perancis yang kini berkongsi empat mata bersama England sebenarnya secara kasar sudah pun layak ke suku akhir dengan mereka hanya perlu mengelak kekalahan kepada Sweden yang sudah pun tersingkir selepas tewss 2-3 kepada England, awal pagi tadi.
Ukraine di tangga ketiga dengan tiga mata manakala Sweden keempat tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Ukraine, Oleg Blokhin menyalahkan barisan pemainnya yang terlalu selesa selepas mereka berjaya menewaskan Sweden 2-1 pada aksi pertama tempoh hari.
“Seperti yang saya katakan, kemenangan ke atas Sweden tidak memberi sebarang makna. Jadi jika kami berasakan kami akan mara, kami silap. Saya fikir terdapat pemain yang berfikiran sebegitu dan saya perlu bincang serius dengan mereka.
“Ini Euro, bukannya Liga Ukraine. Kami perlu beraksi di tahap tertinggi dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami akan analisis semula,” ujar Blokhin yang pasukannya perlu menewaskan England pada aksi terakhir, awal pagi Rabu ini untuk ke suku akhir.



