BENTONG – Pembangunan di kawasan Janda Baik akan dilaksanakan secara terancang mengikut keperluan penduduk memandangkan kawasan itu kini terkenal sebagai destinasi pelancongan terkenal.
Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keistimewaan yang terdapat di kawasan itu menjadi tarikan utama pengunjung dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke situ.
Menurutnya, ciri-ciri tradisional yang masih ada di kawasan kampung itu sewajarnya dikekalkan seiring dengan kemajuan semasa.
“Sebagai contoh, jalan masuk ke kawasan ini masih menggunakan laluan kampung yang mana memberikan suasana yang mendamaikan.
“Walaupun ada permintaan untuk menarik taraf jalan di sini namun dikhuatiri akan menyebabkan identiti kampung tradisional itu hilang dan daya tarikan menjadi kurang,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada Karnival Gegar Janda Baik, dekat sini, baru-baru ini. Tiong Lai berkata, namun begitu kampung ini akan dimajukan secara terancang dan tertib supaya khazanah alam semula jadinya dapat dikekalkan.
Dalam perkembangan sama, beliau juga gembira dengan penglibatan penduduk dalam mengusahakan resort, chalet dan rumah tumpangan sebagai daya penarik kepada pengunjung.
Menurutnya, ia secara tidak langsung dapat mempelbagaikan sumber ekonomi penduduk setempat.
“Apa yang diharapkan ialah penduduk berusahameningkatkan keupayaan mereka dalam bidang pengurusan dan komunikasi supaya dapat memberikan layanan lebih baik kepada pengunjung terutama dari luar negara.
“Sekurang-kurangnya ia akan menjadikan kunjungan pelancong dari luar ke kawasan ini lebih bermakna dan seterusnya menggalakkan kunjungan berterusan pada masa akan datang,” katanya.
Incoming search terms:



