
Ijazah USM Ada Ciri-ciri Keselamatan
GEORGE TOWN — Kertas ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk nombor siri dan tera air bagi menjamin ketulenannya, kata Naib Canselor USM, Datuk Dr. Omar Osman.
Beliau berkata, pada ijazah itu juga tertera logo serta nama naib canselor dan tandatangan pendaftar berbeza mengikut perkembangan semasa ijazah dikeluarkan, selain cop mohor universiti yang memiliki ciri keselamatan tersendiri.
Setiap graduan USM juga didaftar dalam data komputer dan data manual dikenali Buku Warta Konvokesyen Graduan, yang sehingga kini mempunyai 120,000 nama sejak konvokesyen pertama pada 1972, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
“Jika mana-mana pihak inginkan kepastian mengenai ijazah seseorang, mereka boleh menghubungi USM dengan memberikan nombor siri yang dicetak dalam ijazah itu, kita akan mengesahkan nama pemilik ijazah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, USM memandang serius perbuatan jenayah yang cuba memburukkan imej universiti dengan penjualan ijazah palsu dan menyerahkan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut. — BERNAMA



