
Intan Shafi naz bersama sebahagian daripada koleksi majalah, kasut dan aksesori miliknya yang dibeli menggunakan gaji bulanan.
Gaji adalah upah yang diberi kepada pekerja, tidak kiralah apa jua pekerjaan yang mereka lakukan. Semestinya gaji itu ditunggu-tunggu setiap hujung bulan bagi membolehkan ia digunakan sebaik mungkin sementara menanti gaji bulan seterusnya.
Berbicara soal gaji dan pengurusan duit wang, sudah tentu golongan wanita yang sering menjadi sasaran. Mana tidaknya, golongan ini sering dikaitkan dengan sifat boros dalam berbelanja. Namun begitu, tidak semua wanita yang gemar diri mereka dilabel sebagai kaki boros.
Mungkin ada dalam kalangan mereka mempunyai alasan dan cara tersendiri dalam menguruskan kewangan mereka. Wartawan Sinar Harian ada menemu ramah beberapa wanita bagi mengetahui apa yang dilakukan dengan gaji yang diterima mereka setiap bulan.
Suka kumpul majalah, kasut, aksesori
Jawapan pertama yang diberikan kepada penulis ketika diajukan soalan kepada Intan Shafinaz Mohd Fauzi, 28, mengenai apa yang dibuat dengan gaji bulanan yang diterima adalah membeli-belah. Tetapi, membeli-belah itu bukan dalam konsep membazir, sebaliknya dibelanjakan untuk memenuhi tuntutan hobinya.
Dia yang merupakan kerani di sebuah agensi kerajaan bagaimanapun berkata, wang itu akan dibahagikan terlebih dahulu bagi keperluan penting seperti sewa rumah dan keperluan dapur. Manakala, selebihnya baru dibelanjakan untuk membeli barangan yang menjadi kemestian baginya setiap bulan.
Intan berkata, setiap bulan dia tidak pernah terlepas untuk membeli dua majalah kegemarannya iaitu Mingguan Wanita dan Cleo.
“Saya mula mengumpulkan setiap koleksi majalah itu sejak kira-kira lima tahun lalu. Tetapi, adakalanya buku motivasi turut menjadi pilihan. Selain mengumpul majalah, saya juga gemar membeli-belah kasut dan aksesori. Dari segi aksesori, saya mungkin mengikut jejak langkah ibu yang mementingkan penampilan diri,” katanya.
Katanya, meskipun gemar berbelanja, dia bersyukur kerana gaji yang diperoleh cukup dan tidak meminta bantuan dari ibu bapanya yang berada jauh di negeri di bawah bayu, iaitu Sabah.
Simpan sebahagian gaji untuk masa depan
Bagi Umi Mazlina Mohd Zin,27, pula, sebahagian gaji yang diperoleh setiap bulan disimpan untuk kegunaan masa depan dan juga waktu kecemasan. Ujarnya, simpanan itu penting kerana kehidupan seseorang pasti akan ada pasang surutnya.
“Setiap kali tibanya hari gaji, saya sudah asingkan wang itu untuk benda yang perlu dibayar seperti kereta dan bil telefon. Tapi, kadangkala ada juga saya pergi membeli-belah, tetapi hanya apabila ada keperluan,” katanya yang merupakan pekerja swasta.
Turut menyokong kenyataan itu adalah Muniyati Din, 26. Dia yang merupakan kerani di sebuah kilang dekat Perai berkata, setiap orang perlu mempunyai tabungan sendiri kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga.
Tambahan katanya, dia akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi dan sudah tentu wang yang banyak amat diperlukan untuk membeli barangan berkaitan.
“Memang tanggungjawab lelaki untuk mencari wang bagi menguruskan perkahwinan, tapi pada saya apa salahnya kita berkongsi. Jadi, ia tidaklah terlalu membebankan bakal suami,” katanya.
Kumpul duit pergi melancong
“Wang gaji saya, saya kumpul dan pergi melancong bersama kawan-kawan. Suami tahu ia adalah bahagian yang saya suka dan tidak pernah menghalang,” itu kata Siti Noor Hafizzoh Mohd Saad, 26. Anak sulung dari empat beradik itu berkata, melancong salah satu aktiviti riadah yang boleh dijadikan sebagai terapi stres.
Justeru, dia akan berusaha untuk menabung dan kadangkala sanggup ikat perut semata-mata mahu pergi ke tempat yang diingini.
“Saya gembira kerana kawan-kawan yang dikenali sejak lapan tahun lalu semasa sama-sama menuntut di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang turut mempunyai hobi yang sama. Boleh dikatakan hampir seluruh negeri dalam Malaysia sudah saya lawati. Tahun lalu saya ke Mabul, Sabah dan sebelum puasa lepas saya ke Langkawi,” katanya.
Bagaimanapun, Siti Noor Hafizzoh berkata, bukan semua duit gajinya dibelanjakan untuk tujuan melancong, sebaliknya ia turut digunakan untuk membeli keperluan lain termasuk membeli-belah. Dan selebihnya akan disimpan sebagai tabungan di hari tua.



