image Bakat atasi rupa, Nadya Nisa bukti kemampuan
Nadya Nisa

NAMA Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin atau lebih mesra disapa Nadiya Nisa mungkin tidak sepopular dengan barisan pelakon seperti Tasha Shila, Siti Saleha mahupun Wawa Zainal, namun bakat lakonan yang dimiliki pelakon ini ternyata mampu memberi saingan hebat dalam industri hiburan tanah air kini.

Mula mencipta nama dalam industri hiburan setelah namanya diangkat sebagai Pelakon Pembantu Filem Terbaik di Anugerah Skrin  2011 (ASK2011) menerusi filem Cun yang menampilkan barisan pelakon seperti Maya Karin, Remy Ishak, Faezah Elai dan ramai lagi.

Pencapaian itu telah membuktikan penghayatan watak yang dilakonkan telah memberi kesan kepada penonton dan tidak hairanlah setiap lakonannya kini sering mendapat perhatian pelbagai pihak termasuklah penerbit dan pengarah tempatan. Malah Nadiya juga mampu membuktikan bakatnya mampu menyaingi pelakon-pelakon jelita di luar sana.

Menurutnya, kejayaan yang diperoleh tahun lalu sedikit sebanyak memberi dorongan buat dirinya untuk meneruskan karier sebagai seorang pelakon dengan lebih baik.

“Sebelum ini, saya pernah terfikir untuk berehat daripada karier ini. Tetapi semuanya berubah setelah memenangi anugerah itu, semangat saya untuk meneruskan bidang lakonan semakin menebal.

“Saya yakin dengan bakat yang ada. Lagipun saya tidak mahu menghampakan peminat yang banyak beri sokongan kepada saya untuk terus berada dalam karier ini,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun bangga dengan pencapaian tersebut, namun pelakon yang berusia 27 tahun ini mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam kariernya itu.

“Selagi termampu, saya akan terus berusaha memperbaiki tahap lakonan saya sebaik mungkin. Saya mahu orang ramai mengenali saya melalui bakat lakonan dan itu sudah cukup buat saya gembira,” katanya.

Utama keluarga

Tentunya sukar buat seorang pelakon yang sudah bergelar isteri dan ibu membahagikan masa menguruskan rumah tangga dan karier yang tidak menentu masanya.

Turut merasai perkara yang sama, ibu kepada seorang cahaya mata, Omar yang berusia 11 bulan mengakui jadual kehidupannya agak padat, namun tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk meneruskan karier lakonan.

“Alhamdulillah, saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Sebagai seorang isteri dan ibu, saya mahu beri yang terbaik kepada keluarga saya dan pada masa yang sama karier saya juga tidak terabai.

==============================

“Pembahagian masa yang bijak amat penting supaya apa yang dirancang dapat berjalan dengan baik. Saya gembira suami turut memahami karier memandangkan dia juga orang dalam industri,” katanya.

Walaupun keluarga memberi galakan terhadap kerjayanya, Nadiya mengatakan dia tidak pernah lupa batasan-batasan sebagai seorang yang sudah berkeluarga.

“Sekarang saya perlu memilih watak yang ditawarkan kepada saya kerana saya perlu menjaga nama baik keluarga yang telah beri kepercayaan sepenuhnya kepada saya,” ujarnya.

Bintangi filem romantik

Menyentuh mengenai perkembangan karier lakonannya, Nadiya kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem terbaru Pengapit arahan Wan Hasliza.

Dalam filem tersebut, Nadiya turut digandingkan bersama beberapa barisan pelakon popular seperti Farid Kamil, Rita Rudaini, Ann Ngasri, Zain Hamid, Azhar Sulaiman, Razak Ahmad dan ramai lagi.

“Dalam filem ini saya memegang watak Triz yang merupakan seorang gadis biasa yang bercita-cita menjadi seorang penulis. Ia juga mengisahkan mengenai  hubungan persahabatan yang terjalin sejak zaman persekolahan akhirnya ke jinjang pelamin.

“Filem ini mengetengahkan genre romantik komedi di mana ia sangat menghiburkan. Saya harap, penonton akan berpuas hati dengan lakonan saya kali ini,” katanya.

KEDAILELAKI Bakat atasi rupa, Nadya Nisa bukti kemampuan

Incoming search terms:

Use Facebook to Comment on this Post