
Aidilfitri disambut di kebanyakan negara termasuk di GCC dan Afrika, hari ini. – Foto ihsan alarabiya/Reuters
[DIKEMAS KINI] KUWAIT – Sekurang-kurangnya 12 negara Arab - Bahrain, Mesir, Jordan, Kuwait, Lubnan, Libya, Oman, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Sudan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan Ramadan berakhir semalam manakala 1 Syawal jatuh hari ini.
Di Kaherah, Dar Al-Iftaa Al- Masriya berkata, selepas melihat anak bulan, bulan Ramadan berakhir semalam, bermakna umat Islam di negara itu akan menyambut Aidilfitri hari ini.
Dalam pada itu, di Doha, jawatankuasa melihat anak bulan mengisytiharkan bahawa umat Islam telah menyempurnakan puasa selama sebulan semalam manakala 1 Syawal bermula hari ini.
Kenyataan yang sama dikeluarkan di Lubnan, Bahrain, Sudan, Palestin, Jordan, Oman, Arab Saudi dan UAE serta Kuwait.
Malaysia, Thailand, Indonesia dan umat Islam di Filipina juga menyambut 1 Syawal hari ini.
Di China, sebahagian umat Islam menyambut 1 Syawal semalam dan yang lain hari ini.
Di wilayah Qinghai, barat laut China, Aidilfitri disambut semalam manakala di Xinjiang dan Ningxia pula sambutan disaksikan hari ini.



